Sejarah SMKS



Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai selari dengan sejarah Sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani, Bidor kerana pada asalnya sekolah ini adalah cawangan sekolah tersebut yang pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Bidor. 


Sekolah Menengah Rendah Bidor ini ditubuhkan pada tahun 1965. Pada masa itu jumlah pelajarnya seramai 211 orang sahaja. Pelajar-pelajarnya menumpang di bangunan SRJK Choong Hua, Bidor dan di bangunan Sekolah Kebangsaan Bidor (tapak lama).


Sekolah Menengah Sungkai ditubuhkan pada tahun 1967 sebagai cawangan Sekolah Menengah Rendah Bidor. Pada masa itu sekolah cawangan ini belum mempunyai bangunannya sendiri dan menumpang di SRJK (C) Khai Meng, Sungkai. 


Pada permulaannya, sekolah cawangan Sungkai ini mempunyai dua aliran iaitu Melayu dan aliran Inggeris. Aliran Melayu mempunyai 4 buah kelas, iaitu 2 kelas tingkatan 1 dan 2 kelas tingkatan 2. Penyelia sekolah cawangan ini ialah Encik Chan Siak Chee dan tenaga pengajarnya terdiri daripada 21 orang guru.


Pada tahun 1969, Guru Besar sekolah cawangan ini digantikan oleh Encik Sathanandan. Pada masa itu sekolah induk di Bidor telah mendapat bangunan baru. Bilangan pelajarnya termasuk pelajar yang berada di Sungkai berjumlah 1104 orang dan mempunyai 30 buah kelas. 


Oleh kerana bilangan pelajar telah bertambah, maka pada tahun itu juga cawangan di Sungkai dipisahkan dari sekolah induk di Bidor. Sekolah baru ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sungkai (kini sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai).


 Hanya pada tahun 1970, Sekolah Menengah Sungkai mempunyai bangunan sendiri iaitu di tapak yang ada sekarang. Guru Besar pertama bagi sekolah ini ialah Encik Chan Siak Chee. Ketika itu, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai terdiri daripada 23 orang tenaga pelajar, seorang pelayan dan seorang amah.


Pada tahun 1974, apabila bilangan pelajar semakin bertambah, sesi petang terpaksa diadakan di Sekolah Menengah Sungkai iaitu bagi tingkatan 1 dan tingkatan 2. Kelas peralihan dan tingkatan 3 diadakan pada sesi pagi. Pada tahun itu, sekolah ini mempunyai 20 buah bilik darjah, 2 buah makmal sains, 2 buah bilik SRT, 1 buah perpustakaan, 1 blok bangunan Seri Perusahaan dan 1 buah kantin.


 Buat pertama kalinya Temasya Olahraga diadakan pada tahun 1971 manakala Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah kali pertama diadakan pada tahun 1979. 


Tingkatan 4 aliran Sastera di Sekolah Menengah Sungkai dimulakan pada tahun 1975 dan pada tahun 1976, sekolah ini mula mempunyai calon untuk peperiksaan SPM. Pada tahun 1980, Encik Junus bin Wahid AMN.PPT dilantik menjadi Pengetua sekolah ini. 


 Pada tahun yang sama, sebuah lagi bangunan baru dibina.  Bangunan ini mengandungi 2 buah makmal Sains dan 5 buah bilik darjah.  Pada tahun 1981, sebuah bangunan surau didirikan.  Pada tahun itu juga majalah sekolah iaitu SUARA SETIA pertama kali menjadi tatapan warganya.  Tingkatan 4 aliran Sains pula mula diwujudkan pada tahun 1982.


Pada tahun 1983, Encik Nordin bin Haji Arshad menjadi Pengetua sekolah ini. Pada tahun yang sama juga, bangunan baru dikenali sebagai Blok E disiapkan. Mulai 1984, Bilik Gerakan Sekolah diwujudkan. Pada tahun itu juga tingkatan 4 Perdagangan diwujudkan. 


Sebuah dewan kuliah kecil dibina pada tahun 1985 dengan pengubahsuaian sebuah bilik darjah. Tingkatan 6 pula diwujudkan pada tahun 1989. 1 buah bangunan Makmal Komputer mulai beroperasi pada tahun 2002 dengan menempatkan 40 unit untuk pelajar, 2 unit untuk guru dan 1 unit untuk server.

Pihak pentadbir, tenaga pengajar dan kakitangan silih berganti. Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai (dahulunya Sekolah Menengah Sungkai)  telah dan sedang menempuh arus perubahan bersesuaian dengan perkembangan semasa. 


Semoga warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai mampu menghadapi cabaran dan boleh menjayakan Wawasan Perak No.1 dan Perak Gemilang.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Akedemik 2017

           Tanggal 28 April 2017 [Jumaat], Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ...